Program Bina Kendiri Remaja 2012
Wednesday, July 4, 2012
Bermula pada 1 Julai 2012, seramai lebih kurang 100 orang peserta bersama urusetia program telah berkampung di Kem Nur Lembah Lenggong selama 3 hari 2 malam. Program yang julungkali diadakan ini adalah rentetan daripada program 3R yang telah diadakan kepada pelatih di Asrama Akhlak Silibin, Ipoh. Dengan tema yang sama, program ini telah membawa konsep-konsep penerapan nilai dan etika murni dalam membentuk peribadi para peserta. Program ini juga mengobjektifkan pengukuhan akhlak para peserta.
Pada kali ini, pihak JKKD Kinta telah membuka penyertaan kepada peserta di bawah pengawasan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, Daerah Batu Gajah dan Daerah Kampar. Dengan menggunakan peruntukan JKKD masing-masing, setiap daerah telah menghantar peserta bagi menyertai program ini. Ketiga-tiga Pengerusi JKKD bagi setiap daerah juga turut bersama-sama para peserta sedari awal hingga akhir program berlangsung.
Pelbagai aktiviti dan pengisian telah dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya seperti aktiviti explorace, flying fox, ceramah pengukuhan akhlak dan jatidiri, kuliah agama selepas solat berjemaah, sesi muhasabah diri serta qiyamullail. Walaupun para peserta dibebani dengan pelbagai aktiviti, namun ia tidak melemahkan semangat para peserta untuk melaksanakan setiap aktiviti dengan sempurna biarpun terpaksa menahan keletihan.
"Kita telah bersama-sama untuk menjayakan program ini serta kita amat berbangga dengan komitmen yang telah ditunjukkan oleh para peserta. Kali ini juga, kita telah mengambil kemahiran 2 orang tenaga fasilitator dari Biro Tatanegara bagi menyemarakkan lagi aktiviti dan secara langsung menekankan konsep kenegaraan kepada semua peserta agar mendapat natijah yang kekal apabila berhadapan dengan masyarakat kelak", ujar Pengerusi JKKD Kinta En Md. Izatzi bin Othman.
En. Md. Izatzi bin Othman yang juga Pengerusi Penganjur program ini, turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini terutama kakitangan dari Pejabat Kebajikan Daerah Kinta, Batu Gajah dan Kampar serta kakitangan daripada Asrama Akhlak Silibin yang telah bertungkus-lumus mengurusetiakan program ini dari hari pertama hingga hari ketiga.
Sebelum bersurai, program ini juga turut diserikan dengan Majlis Perasmian Penutup yang telah disempurnakan oleh Y.Brs. En. Shamsul Anuar bin Hj Abdullah, Pengarah Bahagian Kanak-kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak yang mewakili Dato' Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak iaitu Y.Bhg. Dato' Chong Phaik Kee.
0 comments:
Post a Comment