Program Bina Kendiri Remaja 2012

Wednesday, July 4, 2012

Bermula pada 1 Julai 2012, seramai lebih kurang 100 orang peserta bersama urusetia program telah berkampung di Kem Nur Lembah Lenggong selama 3 hari 2 malam. Program yang julungkali diadakan ini adalah rentetan daripada program 3R yang telah diadakan kepada pelatih di Asrama Akhlak Silibin, Ipoh. Dengan tema yang sama, program ini telah membawa konsep-konsep penerapan nilai dan etika murni dalam membentuk peribadi para peserta. Program ini juga mengobjektifkan pengukuhan akhlak para peserta.

Pada kali ini, pihak JKKD Kinta telah membuka penyertaan kepada peserta di bawah pengawasan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, Daerah Batu Gajah dan Daerah Kampar. Dengan menggunakan peruntukan JKKD masing-masing, setiap daerah telah menghantar peserta bagi menyertai program ini. Ketiga-tiga Pengerusi JKKD bagi setiap daerah juga turut bersama-sama para peserta sedari awal hingga akhir program berlangsung.

Pelbagai aktiviti dan pengisian telah dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya seperti aktiviti explorace, flying fox, ceramah pengukuhan akhlak dan jatidiri, kuliah agama selepas solat berjemaah, sesi muhasabah diri serta qiyamullail. Walaupun para peserta dibebani dengan pelbagai aktiviti, namun ia tidak melemahkan semangat para peserta untuk melaksanakan setiap aktiviti dengan sempurna biarpun terpaksa menahan keletihan.

"Kita telah bersama-sama untuk menjayakan program ini serta kita amat berbangga dengan komitmen yang telah ditunjukkan oleh para peserta. Kali ini juga, kita telah mengambil kemahiran 2 orang tenaga fasilitator dari Biro Tatanegara bagi menyemarakkan lagi aktiviti dan secara langsung menekankan konsep kenegaraan kepada semua peserta agar mendapat natijah yang kekal apabila berhadapan dengan masyarakat kelak", ujar Pengerusi JKKD Kinta En Md. Izatzi bin Othman.

En. Md. Izatzi bin Othman yang juga Pengerusi Penganjur program ini, turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini terutama kakitangan dari Pejabat Kebajikan Daerah Kinta, Batu Gajah dan Kampar serta kakitangan daripada Asrama Akhlak Silibin yang telah bertungkus-lumus mengurusetiakan program ini dari hari pertama hingga hari ketiga.

Sebelum bersurai, program ini juga turut diserikan dengan Majlis Perasmian Penutup yang telah disempurnakan oleh Y.Brs. En. Shamsul Anuar bin Hj Abdullah, Pengarah Bahagian Kanak-kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak yang mewakili Dato' Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak iaitu Y.Bhg. Dato' Chong Phaik Kee.


Read more...

Bengkel Intergrasi JKKD Peringkat Negeri Perak

Wednesday, April 18, 2012

Pada 13 hingga 15 April 2012 yang lalu, satu bengkel intergrasi untuk Jawatankuasa Kebajikan Kanak-kanak Daerah (JKKD) seluruh negeri Perak telah berlangsung di Langkawi Seaview Hotel, Pulau Langkawi. Program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak dan diurusetiakan oleh JKKD Taiping telah mendapat penyertaan dari semua wakil JKKD di dalam negeri Perak. JKKD Kinta juga turut menghantar wakil seramai 4 orang ahli JKKD terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha dan 2 orang ahli. Program ini dilaksanakan dengan matlamat agar semua JKKD dapat memurnikan lagi tanggungjawab yang telah dipikul sepanjang menjadi ahli JKKD. Berteraskan kepercayaan yang tinggi dalam membentuk dan mengendali program untuk kanak-kanak, semua ahli JKKD juga diseru agar mengambil bahagian di dalam apa jua situasi yang melibatkan perkembangan dan kemajuan kanak-kanak. Tidak hanya tertumpu kepada kes juvana, tetapi pendekatan terhadapat masyarakat juga perlu untuk menjana pertumbuhan sihat di kalangan kanak-kanak di negeri Perak.

 Semoga dengan terlaksananya program seperti ini akan menjana kecemerlangan JKKD dalam memikul taggungjawab sukarela yang telah diamanahkan dengan jayanya.

Read more...

Program 3R Siri I - Respek

Friday, April 6, 2012

Baru-baru ini Jawatankuasa Kebajikan Kanak-kanak Daerah (JKKD) Kinta telah menerima peruntukan sebanyak RM20,000.00 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Peruntukan ini dikreditkan terus ke akaun JKKD Kinta sebagai syarat supaya mengadakan program yang bertajuk 3R (Respek, Rileks, Respon) di Asrama Akhlak Silibin, Ipoh Perak. Keterujaan menerima peruntukan yang julung kali disalurkan ini, JKKD Kinta telah menganjurkan program berkenaan sebagaimana yang disyaratkan oleh JKM Malaysia dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta bertempat di Asrama Akhlak Silibin.

Bermula seawal jam 7.00 pagi Khamis 5 April 2012, program dimulakan dengan aktiviti senam seni bersama pelatih asrama. Turut serta dalam aktiviti ini adalah Pengerusi JKKD Kinta iaitu En Md Izatzi b Othman. "Kita amat berbesar hati dengan peruntukan yang telah disalurkan dan kita berharap dapat melaksanakan amanah ini dengan sebaiknya agar kita semua terutamanya pelatih di Asrama Akhlak Silibin ini akan mendapat manfaat" ujar beliau.

Pengisian program 3R ini turut mendapat kepakaran dari pihak PDRM, AADK dan LPPKN yang dijemput sebagai penceramah bagi 3 slot yang telah dirancang. Pelbagai maklumat dan penekanan diterapkan dalam sesi ceramah agar dapat meninggalkan kesan yang positif di dalam hati setiap pelatih asrama. Sejurus selepas solat maghrib, majlis bacaan Yasin telah diadakan di surau Asrama yang diketuai oleh Ustaz Zainuddin b Muhammad selaku Setiausaha JKKD Kinta.

Selesai solat Isyak, sesi ceramah muhasabah diri telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Huri b Alias iaitu Imam Masjid Muhibbuddin (Masjid Hospital) yang mana beliau turut mengiringi program Konsert Khalifah Seni (Ustaz Azhar Idrus, Sham Kamikaze, Ali Terra Rossa, Catriona Rose, Bob Kuman) yang telah berlangsung baru-baru ini di Marina Island, Lumut Perak. Pelbagai pengalaman turut dikongsikan bersama pelatih. Serta tidak mengecewakan para pelatih, ustaz Huri telah mendendangkan lagu dakwah yang diciptanya sendiri yang bertajuk Jernih Sinar Mu. Amat besar harapan agar Ustaz Huri dapat meluangkan masa menyampaikan tazkirah kepada para pelatih pada masa yang akan datang.

"Alhamdulillah program telah berjalan lancar, serta mendapat kerjasama sepenuhnya daripada kakitangan asrama, pelatih asrama, ahli JKKD Kinta serta kakitangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, kita amat berharap agar program sebegini akan sentiasa dapat diadakan" tegas En Azlan b Hj Ashar iaitu Warden Asrama Akhlak Silibin, Ipoh.




Read more...
© Hakcipta 2010, Jawatankuasa Kebajikan Kanak-kanak Daerah Kinta, Ipoh Perak Darul Ridzuan.
Penafian: Pihak pengurusan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan
yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

  © Designer 2009

Back to TOP